Latar belakang Pertempuran_Haldighati

Pada tahun 1556, Maharaja Mughal yang ketiga iaitu Akbar bersama pemangku raja, Bairam Khan telah menewaskan penguasa Empayar Sur, Hemu dalam Pertempuran Panipat Kedua. Kemenangan Mughal ini menandakan penguasaan mereka ke atas Delhi dan Agra telah dipulihkan. Sikandar Shah Suri cuba melancarkan penentangan ke atas Mughal pada tahun 1556 tetapi ia berjaya dipatahkan. Pada tahun 1559, Mughal menamatkan hayat Empayar Sur sekali gus menjadikan ia kini sebagai kerajaan paling berkuasa di utara India.

Akbar yang kini berusia 18 tahun bersungguh-sungguh untuk menyingkirkan pemangku rajanya supaya beliau dapat memerintah dengan sendirinya. Perkara ini telah memaksa Bairam Khan untuk melancarkan pemberontakan. Namun pada tahun 1560, Akbar meraih kemenangan muktamad ke atas bekas penolong kanannya. Maharaja Mughal kini mencari peluang untuk meluaskan kuasa ke India Tengah dan India Barat. Daerah Gujerat dilihat sebagai kawasan yang strategik kerana ia sangat penting untuk menjalankan urusan perdagangan laut dengan Uthmaniyah dan Safawiyah. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kerajaan kecil yang diperintah oleh pahlawan kasta Rajput yang bersempadan dengan daerah Gujerat. Rajput merupakan kumpulan pahlawan yang agak unik. Setiap lelaki dari puak itu dibesarkan menjadi seorang tentera dan ia sama seperti yang dibuat oleh Sparta. Namun, Rajput berperang seperti kesateria Eropah pada Zaman Pertengahan. Sebahagian besar daripada mereka terdiri daripada kavalri dan ditambah dengan tentera bergajah seperti yang digunakan di India secara tradisi turun-temurun. Mereka juga bertahan di dalam istana berkubu untuk menghadapi serangan.

Akbar melancarkan serangan dahulu. Pada tahun 1561, jeneral Akbar menewaskan Sultan Malwa, Baz Bahadur dalam Pertempuran Sarangpur dan dia menakluk kerajaan Malwa pada tahun berikutnya. Baz Bahadur kemudian melarikan diri menuju ke istana penguasa Mewar, Udai Singh II. Bagi pihak Mughal, perkara ini dapat dijadikan sebagai alasan bagi mereka untuk menyerang kerajaan Mewar. Namun, pemerintahan Akbar telah digugat oleh cabaran daripada saudaranya yang menggunakan khidmat puak Turk. Pemberontakan ini sedikit sebanyak telah merencatkan usaha perluasan kuasanya sehingga tahun 1567. Walaupun beliau sibuk menangani perkara-perkara ini, Maharaja Mughal berjaya mencuri masa untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan kerajaan-kerajaan Rajput. Bahkan, terdapat sesetengah daripada kerajaan Rajput telah menjadi negeri naungan kepada Empayar Mughal.

Pemerintah Mewar iaitu Udai Singh tidak tunduk akan kekuasaan Mughal. Pada tahun 1567, Maharaja Akbar bertindak menceroboh kerajaannya. Mughal meraih kelebihan dari sudut jumlah bilangan tentera. Mereka telah menghimpunkan tentera seramai 100,000 orang manakala pemimpin Rajput itu hanya memiliki selebih-lebihnya seramai 20,000 orang. Setelah mendengar perkhabaran ini, Udai berundur ke kawasan pergunungan yang terletak di barat daya kerajaannya dengan berharap kubu-kubunya dapat menghentikan kemaraan penceroboh Mughal. Pada hujung tahun 1567 dan awal tahun 1568, tentera Akbar telah mengepung kota Chittorgarh. Pada tahun yang sama, tentera beliau kemudiannya mengepung Ranthambore. Kedua-dua tempat itu jatuh ke tangan Mughal dalam tempoh masa beberapa bulan tetapi pengepungan ini masih dilihat sebagai sesuatu yang luar biasa. Buat pertama kali dalam sejarah India apabila tentera jurutera dan artileri telah memainkan peranan penting untuk mengepung dan menyerang sesuatu kubu. Akbar dan jeneralnya telah mengarahkan tentera jurutera untuk menggali parit dan menanam bahan peledak bagi meruntuhkan benteng pertahanan musuh. Pemerintahan Udai Singh telah retak apabila Akbar tidak ingin berperang di kawasan pergunungan. Jadi, Akbar membuat keputusan untuk pulang ke ibu kota. Saki baki kerajaan Rajput mengakui kekuasaan Mughal walaupun hanya terdapat sesetengah puak Mewar meneruskan penentangannya.

Pada tahun 1572, Ubai Singh meninggal dunia dan anaknya, Pratap menjadi penguasa Mewar. Akbar bersungguh-sungguh untuk menjamin laluan ke Gujerat. Pada tahun 1576, beliau telah menghantar jeneralnya, Man Singh yang merupakan seorang pengamal budaya Rajput untuk berunding mengadakan perjanjian. Sesetengah cendekiawan berpendapat bahawa Pratap telah menghina Man Singh kerana berada di pihak Akbar. Sesetengah pula berpendapat bahawa Pratap cuma menolak rundingan tersebut untuk menjadi naungan Mughal sekali gus meletakkan peperangan tidak dapat dielakkan lagi. Pratap tahu bahawa jumlah tenteranya tidak dapat mengatasi musuh. Jadi, beliau telah meletakkan tenteranya di laluan pintu masuk menuju ke Genting Haldighati. Tentera Man Singh pula menghampiri kawasan itu dan Pertempuran Haldighati yang ikonik tercetus pada 18 Jun 1576.